Hari
yang indah, suara unggas berkicauan di pagi hari, melagukan irama indah tika
suria menyapa. Kehijauan pepohon nan rendang memukau pandangan. Mengusir pergi
setiap gundah di hati. Angin damai bertiup lembut ibarat menghantar pesanan
mengenai cerita hari ini. Kelihatan Ady jauh termenung di birai kamar. Entah
apa yang terlalu mengganggu fikirannya dikala ini. Barangkali mengenangkan
nasib diri yang jauh tanpa pasti.
Ady
merupakan seorang anak yang membesar dalam keluarga yang berantakan. Pada
asalnya Ady memiliki sikap yang sangat prihatin dan menyayangi keluarga
terutama ibunya. Memiliki keluarga yang tidak begitu besar namun tanggungjawab
Ady sebagai anak kedua dalam keluarga agak besar. Ady mempunyai lima orang
adik-beradik iaitu seorang abang dan tiga orang adik yang masih bersekolah
seperti dirinya. Saban hari sejak kecil Ady seringkali mendengar dan melihat hubungan
antara ibu dan ayahnya sentiasa dalam keadaan tegang. Memukul, menghina,
memaksa dan menengking terhadap ibunya adalah perkara biasa dilakukan oleh si
ayah terhadap ibunya. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sikap si ayah yang
sentiasa mabuk kerana meneguk air syaitan (arak) di samping berjudi. Dalam masa
yang sama Ady juga memiliki abang yang tidak kurang sikapnya seperti si ayah.
Kalau si ayah mabuk dan berjudi tetapi berbeza dengan Alim iaitu abang kepada Ady merupakan penagih
dadah tegar. Sikapnya langsung tidak menggambarkan nama yang diberi.
Puan
Salina yang merupakan ibu kepada Ady bekerja keras menjual nasi lemak di
pinggir-pinggir jalan demi menyara kehidupan keluarga. Memikirkan anak-anak
yang masih bersekolah memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit membuatkan Puan Salina terus bertahan. Memiliki
suami yang telah lama hilang tanggungjawabnya menyebabkan Puan Salina terpaksa
bekerja sendiri menggunakan kudrat yang ada agar kehidupan masih boleh
diteruskan. Mengenangkan nasib diri dan anak-anak membuatkan air mata Puan
Salina sentiasa berguguran di pipi tanpa menyedari ada mata yang sering
memerhati. Resah dan sakit yang ditanggung hanya Tuhan yang mengerti. Betapa
Puan Salina menyayangi anak-anaknya begitulah kekuatan yang cuba dipertahankan.
Memiliki ibu seperti Puan Salina merupakan rahmat Tuhan yang tiada bandingan.
Setiap yang dilakukan pasti kepentingan anak-anak diutamakan namun apakan daya kudrat
wanita apabila sang suami sering memaksa dan memukul untuk mendapatkan duit
berjudi segala. Tanpa rela duit dirampas dengan langsung tiada belas kasihan.
Dalam pada itu seringkali ada mata yang memerhati dari kejauhan.
Apabila
usia Ady sudah kian meningkat remaja iaitu sejak usia 11 tahun dia semakin
mengerti apa yang berlaku dalam keluarganya. Ady mengerti akan setiap air mata
yang mengalir di pipi ibunya. Kesakitan yang ditanggung ibunya seiring dengan
dendam yang membara di dadanya terhadap si ayah. Sebagai anak yang masih mentah
dia tidak mampu melakukan apa-apa demi mempertahankan ibunya. Hanya perasaan
geram dan marah yang kian meruncing dalam dirinya. Sehingga Ady memasuki
sekolah menengah sikap si ayah masih tidak berubah malah semakin menjadi-jadi
perangai buruknya. Keadaan ini telah mempengaruhi sikap Ady di sekolah.
Gambaran sikap ayah yang sering memukul ibunya membuatkan Ady berasa tercabar.
Sejak
memasuki alam sekolah menengah Ady selalu terlibat dengan masalah disiplin.
Pelbagai kegiatan tidak bermoral dicubanya. Oleh kerana menyimpan dendam yang
terlalu lama terhadap si ayah membuatkan Ady berasa tertekan hingga dia
melepaskan tekanan dan amarah tersebut di sekolah. Ady dan rakan-rakan
seringkali membuli, memukul, memeras ugut, mengganggu pelajar lain, ponteng
kelas dan sebagainya. Bagi Ady dengan berkelakuan begitu akan memberi kepuasan
terhadap dirinya walaupun sementara. Setiap kali dia memukul pelajar lain di
sekolah setiap kali itu jugalah bayangan ayah berlegar-legar di mindanya. Bagi
Ady ayah terlalu kejam memperlakukan ibunya seperti tidak berperasaan. Setiap
kali bayangan ayah menjelma amarah Ady tidak dapat ditahan-tahan. Tambahan pula
sikap Alim yang tidak kurang juga menyesakkan fikirannya. Ady membesar dengan
pelbagai masalah yang menganggu perasaan dan fikirannya. Bertemu dengan kawan
yang salah membuatkan sikap Ady begitu nakal dan langsung tidak endahkan
perasaan orang lain.
Perwatakan
Ady yang kasar dan suka membuli tersebut menimbulkan rasa benci oleh pelajar
lain. Ady terkenal dengan sifat samseng dan nakal yang tidak pernah hilang.
Dalam kalangan guru sekalipun Ady dan rakan-rakan sentiasa menjadi perbualan.
Namun begitu, Ady tidak pernah mengendahkan setiap pandangan orang walaupun
sudah banyak kali di bawa ke bilik kaunseling. Bagi Ady semua itu tidak
terkesan langsung dihatinya. Apatah lagi dalam usia remaja pasti nafsu sahaja
yang dituruti. Sehinggalah suatu hari…….
Ketika
Ady sedang pulang dari sekolah dia mendengar pertengkaran ibu dan ayahnya
seperti biasa tetapi nada suara ibunya sedari jauh sudah kedengaran. Ady mula
rasa berang. Seperti biasa ayah memukul dan mendesak ibunya untuk mendapatkan
wang namun kali ini ibu betul-betul berkeras tidak menuruti permintaan ayah.
Barangkali memikirkan adik-adiknya yang jauh lebih memerlukan duit. Pergelutan
antara ibu dan ayah Ady terus berlaku hingga tiba-tiba dalam keadaan separuh
mabuk ayah Ady mencapai pisau yang berdekatan dan menusuk ibunya. Bibir Puan
Salina seakan ingin mengatakan sesuatu namun tidak berdaya kesan tikaman yang
terlalu nyilu. Si ayah tergaman seperti baru tersedar dari mabuk yang tidak
berkesudahan.
Kalau
sebelum ini Ady hanya menjadi pemerhati yang setia kali ini apabila melihat ibu
yang sudah terlalu lama menanggung kesakitan ditusuk ayah hanya kerana inginkan
duit Ady sudah hilang kesabaran, Ady sudah hilang kewarasan, Ady sudah tiada
pendoman, Ady sudah tidak nampak jalan keluar melainkan melakukan benda yang
sama terhadap ayahnya. Tanpa berfikir panjang Ady meluru tepat ke arah ayahnya
dan menikam belakang ayahnya…. Hanya beberapa saat ayahnya sudah jatuh terkulai
layu. Ady mendapatkan ibunya yang sudah tidak bernyawa. Ady terkilan kerana tidak
dapat menjadi pelindung kepada ibunya namun dalam masa yang sama dia berpuas
hati kerana orang yang dibenci, dendam yang bertahun lama terpendam, jiwa yang
sudah sekian lama parah akhirnya seakan terbalas.
Tiada
kata yang dapat menggambarkan perasaan Ady tatkala melihat ibu yang telah
banyak berkorban untuk dirinya dan adik-adik ditikam kejam oleh si ayah.
Disebabkan pengalaman dan perasaan marah yang sudah lama terpendam menyebabkan
Ady sudah tidak mampu bertahan. Sejak kecil tiada sekelumit pun kasih sayang
ayah yang singgah di hati. Hanya yang ada adalah perasaan marah, benci dan
dendam semata-mata….
Ketukan
yang bertalu-talu dari luar kamar membuatkan Ady tersentak dari lamunan yang
panjang. Ady yang kini berada di Pusat Pemulihan JUVANA sudah semakin menyedari
kesalahan yang telah dilakukan. Disebabkan Ady telah melakukan kesalahan berat
tetapi masih bawah umur maka Ady didakwa atas kesalahan membunuh dan di hantar
ke pusat pemulihan JUVANA…
No comments:
Post a Comment