Tuesday, September 10, 2013

Kisah Juvana



Hari yang indah, suara unggas berkicauan di pagi hari, melagukan irama indah tika suria menyapa. Kehijauan pepohon nan rendang memukau pandangan. Mengusir pergi setiap gundah di hati. Angin damai bertiup lembut ibarat menghantar pesanan mengenai cerita hari ini. Kelihatan Ady jauh termenung di birai kamar. Entah apa yang terlalu mengganggu fikirannya dikala ini. Barangkali mengenangkan nasib diri yang jauh tanpa pasti.
Ady merupakan seorang anak yang membesar dalam keluarga yang berantakan. Pada asalnya Ady memiliki sikap yang sangat prihatin dan menyayangi keluarga terutama ibunya. Memiliki keluarga yang tidak begitu besar namun tanggungjawab Ady sebagai anak kedua dalam keluarga agak besar. Ady mempunyai lima orang adik-beradik iaitu seorang abang dan tiga orang adik yang masih bersekolah seperti dirinya. Saban hari sejak kecil Ady seringkali mendengar dan melihat hubungan antara ibu dan ayahnya sentiasa dalam keadaan tegang. Memukul, menghina, memaksa dan menengking terhadap ibunya adalah perkara biasa dilakukan oleh si ayah terhadap ibunya. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sikap si ayah yang sentiasa mabuk kerana meneguk air syaitan (arak) di samping berjudi. Dalam masa yang sama Ady juga memiliki abang yang tidak kurang sikapnya seperti si ayah. Kalau si ayah mabuk dan berjudi tetapi berbeza dengan  Alim iaitu abang kepada Ady merupakan penagih dadah tegar. Sikapnya langsung tidak menggambarkan nama yang diberi.
Puan Salina yang merupakan ibu kepada Ady bekerja keras menjual nasi lemak di pinggir-pinggir jalan demi menyara kehidupan keluarga. Memikirkan anak-anak yang masih bersekolah memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit  membuatkan Puan Salina terus bertahan. Memiliki suami yang telah lama hilang tanggungjawabnya menyebabkan Puan Salina terpaksa bekerja sendiri menggunakan kudrat yang ada agar kehidupan masih boleh diteruskan. Mengenangkan nasib diri dan anak-anak membuatkan air mata Puan Salina sentiasa berguguran di pipi tanpa menyedari ada mata yang sering memerhati. Resah dan sakit yang ditanggung hanya Tuhan yang mengerti. Betapa Puan Salina menyayangi anak-anaknya begitulah kekuatan yang cuba dipertahankan. Memiliki ibu seperti Puan Salina merupakan rahmat Tuhan yang tiada bandingan. Setiap yang dilakukan pasti kepentingan anak-anak diutamakan namun apakan daya kudrat wanita apabila sang suami sering memaksa dan memukul untuk mendapatkan duit berjudi segala. Tanpa rela duit dirampas dengan langsung tiada belas kasihan. Dalam pada itu seringkali ada mata yang memerhati dari kejauhan.
Apabila usia Ady sudah kian meningkat remaja iaitu sejak usia 11 tahun dia semakin mengerti apa yang berlaku dalam keluarganya. Ady mengerti akan setiap air mata yang mengalir di pipi ibunya. Kesakitan yang ditanggung ibunya seiring dengan dendam yang membara di dadanya terhadap si ayah. Sebagai anak yang masih mentah dia tidak mampu melakukan apa-apa demi mempertahankan ibunya. Hanya perasaan geram dan marah yang kian meruncing dalam dirinya. Sehingga Ady memasuki sekolah menengah sikap si ayah masih tidak berubah malah semakin menjadi-jadi perangai buruknya. Keadaan ini telah mempengaruhi sikap Ady di sekolah. Gambaran sikap ayah yang sering memukul ibunya membuatkan Ady berasa tercabar.
Sejak memasuki alam sekolah menengah Ady selalu terlibat dengan masalah disiplin. Pelbagai kegiatan tidak bermoral dicubanya. Oleh kerana menyimpan dendam yang terlalu lama terhadap si ayah membuatkan Ady berasa tertekan hingga dia melepaskan tekanan dan amarah tersebut di sekolah. Ady dan rakan-rakan seringkali membuli, memukul, memeras ugut, mengganggu pelajar lain, ponteng kelas dan sebagainya. Bagi Ady dengan berkelakuan begitu akan memberi kepuasan terhadap dirinya walaupun sementara. Setiap kali dia memukul pelajar lain di sekolah setiap kali itu jugalah bayangan ayah berlegar-legar di mindanya. Bagi Ady ayah terlalu kejam memperlakukan ibunya seperti tidak berperasaan. Setiap kali bayangan ayah menjelma amarah Ady tidak dapat ditahan-tahan. Tambahan pula sikap Alim yang tidak kurang juga menyesakkan fikirannya. Ady membesar dengan pelbagai masalah yang menganggu perasaan dan fikirannya. Bertemu dengan kawan yang salah membuatkan sikap Ady begitu nakal dan langsung tidak endahkan perasaan orang lain.
Perwatakan Ady yang kasar dan suka membuli tersebut menimbulkan rasa benci oleh pelajar lain. Ady terkenal dengan sifat samseng dan nakal yang tidak pernah hilang. Dalam kalangan guru sekalipun Ady dan rakan-rakan sentiasa menjadi perbualan. Namun begitu, Ady tidak pernah mengendahkan setiap pandangan orang walaupun sudah banyak kali di bawa ke bilik kaunseling. Bagi Ady semua itu tidak terkesan langsung dihatinya. Apatah lagi dalam usia remaja pasti nafsu sahaja yang dituruti. Sehinggalah suatu hari…….


Ketika Ady sedang pulang dari sekolah dia mendengar pertengkaran ibu dan ayahnya seperti biasa tetapi nada suara ibunya sedari jauh sudah kedengaran. Ady mula rasa berang. Seperti biasa ayah memukul dan mendesak ibunya untuk mendapatkan wang namun kali ini ibu betul-betul berkeras tidak menuruti permintaan ayah. Barangkali memikirkan adik-adiknya yang jauh lebih memerlukan duit. Pergelutan antara ibu dan ayah Ady terus berlaku hingga tiba-tiba dalam keadaan separuh mabuk ayah Ady mencapai pisau yang berdekatan dan menusuk ibunya. Bibir Puan Salina seakan ingin mengatakan sesuatu namun tidak berdaya kesan tikaman yang terlalu nyilu. Si ayah tergaman seperti baru tersedar dari mabuk yang tidak berkesudahan.
Kalau sebelum ini Ady hanya menjadi pemerhati yang setia kali ini apabila melihat ibu yang sudah terlalu lama menanggung kesakitan ditusuk ayah hanya kerana inginkan duit Ady sudah hilang kesabaran, Ady sudah hilang kewarasan, Ady sudah tiada pendoman, Ady sudah tidak nampak jalan keluar melainkan melakukan benda yang sama terhadap ayahnya. Tanpa berfikir panjang Ady meluru tepat ke arah ayahnya dan menikam belakang ayahnya…. Hanya beberapa saat ayahnya sudah jatuh terkulai layu. Ady mendapatkan ibunya yang sudah tidak bernyawa. Ady terkilan kerana tidak dapat menjadi pelindung kepada ibunya namun dalam masa yang sama dia berpuas hati kerana orang yang dibenci, dendam yang bertahun lama terpendam, jiwa yang sudah sekian lama parah akhirnya seakan terbalas.
Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan Ady tatkala melihat ibu yang telah banyak berkorban untuk dirinya dan adik-adik ditikam kejam oleh si ayah. Disebabkan pengalaman dan perasaan marah yang sudah lama terpendam menyebabkan Ady sudah tidak mampu bertahan. Sejak kecil tiada sekelumit pun kasih sayang ayah yang singgah di hati. Hanya yang ada adalah perasaan marah, benci dan dendam semata-mata….
Ketukan yang bertalu-talu dari luar kamar membuatkan Ady tersentak dari lamunan yang panjang. Ady yang kini berada di Pusat Pemulihan JUVANA sudah semakin menyedari kesalahan yang telah dilakukan. Disebabkan Ady telah melakukan kesalahan berat tetapi masih bawah umur maka Ady didakwa atas kesalahan membunuh dan di hantar ke pusat pemulihan JUVANA…